YUDA

Kumpulan Cerpen Yuda






















  • Warna Katarsis
  • Taman Uzlah
  • Bukan Agitasi Bandel
  • Pertarungan Kedua
  • Gua Zuhud
  • Merpalang
  • Pertemuan Sukma
  • Nurzina
  • Detak Arloji
  • Sat Malangkaii
  • Mafatih Nur
  • Kinanti
  • Warawiri
  • Kata
  • Menyadap Madu Bunga Tongkeng
  • Musim Yuda
  • 777

Kecenderungan Zaen Kasturi dalam Kumpulan Cerpen Yuda


Pengenalan

Yuda adalah himpunan 17 buah cerpen hasil penulisan Zaen Kasturi yang diterbitkan pada tahun 1992 yang menggarap pelbagai persoalan mengenai kehidupan manusia. Antara cerpen yang terkandung dalam kumpulan cerpen ini ialah "Warna Katarsis", "Taman Uzlah", "Gua Zuhud", "Bukan  Agitasi Bandel", dan "Musim Yuda". Terdapat juga cerpen yang disiarkan di akhbar dan majalah iaitu cerpen "Taman Uzlah" yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 30 oktober 1988 dan cerpen "Bukan Agitasi Bandel" yang disiarkan dalam Mingguan Famili pada Jun 1996.

Kecenderungan Ambiguiti

Ambiguiti dalam Kamus Dewan bermaksud kesamaran atau ketidaktentuan yang memungkinkan dua tafsiran terhadap sesuatu perkara. Karya Zaen Kasturi banyak menggunakan ambiguiti atau perlambangan yang sukar ditafsir oleh akal biasa yang malas meneroka. Zaen Kasturi menggunakan 3 pendekatan dalam mempamerkan ambiguiti dalam kumpulan cerpen Yuda:
Dari segi penciptaan tajuk sesebuah karya cerpen di mana ianya sarat dengan makna dan falsafah yang tersendiri. Contoh tajuk cerpen ialah “Warna Katarsis”. Memperlihatkan kecenderungan pada judul yang metaforikal, dan menjelaskan makna tertentu terhadap keseluruhan cerpen.‘Warna’ membawa maksud keperibadian seseorang manakala ‘katarsis’  merujuk kepada kelegaan emosi (perasaan) atau kelegaan daripada ketegangan dan pergolakan batin (Kamus Dewan). Katarsis juga boleh dianggap sebagai ruang pembersihan, penyucian dan perasaan yang diamankan (Mawar Safie). 

Dari segi penulisan jalan cerita sesebuah karya cerpen. Tema dan persoalan yang dibentangkan penuh dengan perlambangan. Contohnya melalui cerpen "Bukan Agitasi Bandel". Terdapat unsur perlambangan apabila kehadiran seorang gadis yang mampu mengubah keperibadian watak ‘aku’ dalam cerita ini. Bait-bait ayat seperti ‘akanku bunuh diriku yang lama ini dengan belati kasih. Akanku pupuk diriku yang baharu dangan sepuhan cinta’ membawa maksud ‘aku’ sanggup mengubah keperibadian dirinya demi seorang perempuan yang dia puja. Perkara yang ingin diketengahkan di sini ialah cara penyampaian maksud itu diselit dengan unsur ayat yang berbunga dan kecenderungan ambiguiti.
Dari segi unsur absurd. Membawa maksud sesuatu perkara yang tidak masuk akal. Contohnya, cerpen "Taman Uzlah", Zaen menggambarkan watak seorang pelukis bernama Nun yang boleh bercakap dengan hasil lukisannya. Jelas lagi unsur absurd bahawa seorang itu boleh mengingati setiap wajah yang hadir walaupun dalam keadaan sub-conscious. Unsur absurd  yang menunjukkan lukisan-lukisan yang boleh berkata-kata itu juga sebenarnya ingin menggambarkan bahawa lukisan yang dihasilkan itu hidup dan mempunyai jiwa.

Kecenderungan Interteks


Interteks bermaksud menggunakan lebih daripada satu karya untuk menghasilkan karya yang baru. Kecenderungan ini sangat akrab dengan diri beliau dalam setiap karya yang dihasilkannya. Interteks yang digunakan dalam kumpulan cerpen Yuda dirujuk melalui:
Penggunaan inti pati Al-Quran menerusi ayat pertama surah Al-Qamar, "telah dekat (datangnya) saat itu dan telah terbelah bulan". Selain itu, begitu juga dengan gua yang penuh erti dalam surah Al-Kahfi (9-15) dan rangkaian sejarah dalam surah Iqra: (1-5) atau al-Taubah: 57. Cerpen Gua Zuhud menampilkan watak Lam Alif. Watak Lam Alif sangat merindukan bulan dan sebuah gua yang berbau narwastu yang di tinggalkan sekian lama. Nun pula adalah satu daripada huruf hijaiyah yang digunakan untuk  nama watak seorang lelaki. Gua Zuhud menjadi takdir yang mengungkap tempat iaitu secara tertutup atau persembunyian untuk Lam Alif menjauhkan diri daripada kemewahan dan keseronokan hidup (Mawar Shafie Antara Ambiguiti dengan Anti-Narasi dalam Taman Uzlah Zaen Kasturi: 10-11).
Dari segi hubungan antara cerpen. Kedua-dua cerpen ini saling berkait antara satu sama lain. Contohnya, menerusi cerpen yang bertajuk "Warna Katarsis" dan "Taman Uzlah". Penggunaaan watak dan latar yang sama dalam kedua-dua cerpen ini. Kedua-dua cerita ini mengunakan latar yang sama iaitu latar seni lukis. Cerpen Warna Katarsis awalan penceritaannya diperkenalkan dengan watak aku yang sedang melukis dan bermain dengan warna, manakala melalui cerpen Taman Uzlah turut mengambil latar seni lukis dalam penceritaannya, contohnya terdapat beberapa lukisan perempuan yang tergantung di dinding seperti Umegawa, Laila, Monalisa, Cleopatra dan Juliet. Lebih ketara lagi, unsur interteks apabila kedatangan seorang perempuan dalam cerpen. Bukan itu sahaja, kegelapan hidup watak Nun dalam dalam cerpen "Taman Uzlah" dibawa ke dalam cerpen "Bukan Agitasi Bandel".
Dari segi penggunaan rujukan teks lama. Penggunaan kata kesan pembacaan Zaen Kasturi terhadap teks-teks lama. Contohnya, Sulalatus Salatin dan Tuhfat al-Nafis. Cerpen yang bertajuk "Pertarungan Kedua" dan cerpen "Sat Malangkaii" jelas menunjukkan bahawa terdapat penggunaan rujukan teks lama Sulalatus Salatin dan Tuhfal al-Nafis dalam penceritaannya.Cerpen "Pertarungan Kedua" yang dimulakan dengan keratan cerita keenam belas tentang Hang Tuah yang sudah dihukum sultan. Antara watak yang ditonjolkan ialah seperti Tun Teja, Patih Aria Gajah Mada, Radin Galuh Wi Kesuma dan sebagainya. Penggunaan teks lama ini bertujuan memberi penghargaan terhadap karya-karya tradisional yang kian dilupai dan untuk mengangkat  kembali kegemilangan karya-karya agung masyarakat zaman dahulu.

Platform Kritikan


Sikap manusia yang pendendam. Melalui cerpen “Kinanti” Zaen mengkritik tentang wanita yang pendendam. Watak Kinanti merupakan seorang gadis yang pendendam. Kinanti berdendam dengan mana-mana lelaki kerana Kinanti merupakan anak luar nikah akibat ibunya yang pernah dirogol. Kesan daripada sikap pendendam itu, akhirnya Kinanti bertekad untuk menjadi pelacur ataupun perawan.
Maruah wanita. Menerusi cerpen “Menyadap Madu Bunga Tongkeng”, Zaen memperlihatkan tentang sikap wanita yang tidak menjaga maruah diri dengan baik. Contohnya sikap seorang wanita yang pada zahirnya mempamerkan watak yang lemah lembut dan ibarat ratu di pementasan. Namun pada azalinya, wanita tersebut digambarkan senang untuk didampingi oleh mana-mana lelaki.
Mengkritik nama. Zaen mengkritik tentang nama di dalam cerpen beliau yang bertajuk “Nurzina”. Zaen memperlihatkan tentang betapa pentingnya pemilihan nama terhadap seseorang individu. Perkatan “Nur” membawa maksud yang baik iaitu “cahaya” tetapi “zina” adalah satu perkataan yang tidak sesuai untuk dijadikan nama seseorang kerana maksudnya yang tidak baik atau buruk yang dikhuatiri membawa impak kepada individu tersebutkan.
Sikap pemimpin. Cerpen “Musim Yuda” Zaen mengkritik tentang sikap pemimpin. Zaen telah mengkritik tentang sikap pemimpin yang tidak berwibawa dan sering mengarahkan rakyatnya berperang di lembah yuda yang tidak membawa apa-apa kebaikan melainkan nyawa rakyat yang terkorban tanpa ada pembelaan tidak ubah seperti mati katak

Kecenderungan Gaya Bahasa

Pantun : Pisang emas dibawa belayar,
                   Masak sebiji di atas peti,
               Hutang emas boleh dibayar,
                   Hutang budi dibawa mati.
Mantera : “... Hu Alif, empunya tuju
                  keluar seperti tagar
                 berdengung seperti kunbang
                datang seperti kilat
                betul ke kulit, singgah ke daging
Bahasa Inggeris : tripod, knife pada permulaan cerpen Warna Katarsis
Bahasa jawa : "dan kukira kedatangan kalian ke ambenku kali ini boleh sahaja meleraikan buah berantakan yang bermain di kepala.."
Bahasa arab : menggunakan perkataan Arab seperti Asyhadu alla ilaha illallah waasyhadu anna muhammadar rasulullah yang membawa  pengertian tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah

Kenapa digunakan kecenderungan itu?

Ambiguiti. Merupakan prinsip hidup Zaen Kasturi yang mahukan pembaca berfikir  selain menjadikan sesuatu jalan cerita itu lebih unik.
Interteks. Penggunaan hujah Al Quran dalam penulisan cerpennya. Zaen Kasturi pernah menyatakan bahawa  Al-Quran merupakan sahabatnya dan beliau merasakan dirinya dekat dengan kalam Allah manakala motif  penggunaan teks lama adalah bertujuan agar pembaca itu lebih mengetahui dan mengangkat teks lama. Hubungan antara teks pula menjelaskan jika pembaca tidak faham akan sesuatu teks mereka tidak akan sedar bahawa teks tersebut merupakan kesinambungan tetapi diubah sedikit melalui watak, latar dan sebagainya.

Gaya Bahasa. Bertujuan memberi keindahan kepada sesuatu karya agar lebih menarik selain penggunaan bahasa yang lebih pelbagai.
Kritikan. Memberi mesej kepada pembaca dan membuka mata pembaca. 

Kesimpulan

Kecenderungan beliau adalah untuk menuntut kedalaman pemikiran pembaca. Beliau mengadaptasi rujukan dari sumber-sumber tertentu untuk melahirkan sebuah karya yang bernafas baru dan mencorakkan lagi dunia sastera hari ini.Pembaca pula perlu memikir dan mentafsir karya beliau untuk mendapatkan makna sebenar. Pemikiran beliau amat luar biasa dan tidak dapat diduga oleh akal yang biasa.