IDOLA

Kumpulan Cerpen Idola


 




















  • Sewang
  • Idola
  • Nanti Dulu, Matahari
  • Pertemuan Sukma
  • Risik Hujan Di Kaca Jendela
  • Kemerdekaan Yang Lain
  • Angin Dari Tanah Balkan

Kecenderungan Zaen Kasturi dalam Kumpulan Cerpen Idola

Pengenalan

Zaen Kasturi atau nama sebenarnya Zainal bin Palit merupakan salah seorang penulis di Malaysia. Beliau banyak menyumbangkan karya dalam bentuk cerpen, puisi, esei sastera dan novel remaja. Karya-karya beliau sering memenangi sayembara dan pertandingan seperti Hadiah Sastera Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan baru-baru ini menerima Anugerah S.E.A Write. Kumpulan cerpen Idola ialah kumpulan cerpen kedua yang dihasilkan oleh Zaen Kasturi. Setiap cerpen dalam kumpulan cerpen Idola memaparkan mesej dan tema yang berlainan dan berkaitan dengan kehidupan manusia seharian.

“Sewang”

Perkataan Sewang selalunya dikaitkan dengan rimba alam dan tradisi tarian yang melibatkan Orang Asli. Cerpen Sewang ini memaparkan tentang persoalan adat dan perbezaan taraf yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli. Terdapat gaya bahasa metafora dan hiperbola selain persoalan dendam yang mengaburi fikiran waras menjadi tema utama dalam cerpen ini. Antara watak penting ialah seperti Yok Nuih, Inak dan Batin Nayang. Berikut merupakan petikan cerpen dalam cerpen Sewang yang menunjukkan perbezaan taraf antara Yok Nuih dan Inak: 
  "Inak, aku tahu mana asalku, Engkau ibarat tempinis yang sukar dicapai oleh tangan….aku Cuma rumpun malialam yang tidak pernah dihiraukan oleh sesiapa” (hlm.4 dan 5) 

“Idola”

Cerpen ini menjadi tajuk kumpulan cerpen Zaen Kasturi. Sekali imbas ianya kelihatan seakan-akan menyamai kata-kata yang diungkap oleh William Shakespeare iaitu “dunia ini adalah seperti sebuah pentas, dan kita adalah pelakonnya”. Menceritakan tentang ketaksuban seorang penjaga panggung terhadap hero pujaannya sehingga mengabaikan masa depan keluarga manakala watak hero memberi kesedaran terhadap penjaga panggung akan realiti kehiduan sebenar di mana Si hero lebih mengetahui dan menyedari akan realiti kehidupan yang sebenar berbanding dengan si penjaga panggung yang terlalu bercita-cita besar untuk menjadi orang yang dikagumi tanpa mahu berusaha keluar dari kehidupannya yang sekarang. Melalui cerpen ini Zaen Kasturi memperlihatkan sifat dan ciri antara dunia realiti dan dunia khayalan.

“Pertemuan Sukma”

Cerpen Pertemuan Sukma memaparkan tentang bagaimana suatu proses pencarian diri atau konflik jiwa yang dihadapi oleh Qaf. Terdapat beberapa kecenderungan yang dapat dilihat menerusi cerpen ini. Antaranya ialah teknik pendekatan monolog, penggunaan nama-nama ahli falsafah Barat dan karya-karya dari Barat yang mempengaruhi kehidupan watak Qaf serta kecenderungan Zaen Kasturi dalam membandingkan cerita-cerita klasik Yunani seperti Odyssey dan Ulysses dengan Syair Siti Zubaidah Perang Cina, Yatim Nestapa dan Puteri Hijau. Watak Qaf akhirnya kembali menemui jati dirinya sendiri dengan mengingat kembali kisah kenangan silam zaman kanak-kanaknya.

 “Angin Dari Tanah Balkan”

Cerpen ini menekankan soal semangat patriotisme dan nasionalisme. Seperti  cerpen “Pertemuan Sukma”, Zaen Kasturi juga dilihat mengunakan pendekatan monolog dalaman dalam cerpen ini. Contoh petikan yang menggunakan monolog dalaman:

    “Begini jadinya zaman remajaku, kawan, namun bukan kau  menyalahkan kudrat dan iradat-Nya bukan! Tidak sebesar hama pun aku menyesal! Nasib yang tersurat begini!" (hlm. 81)

Petikan tersebut memaparkan watak “aku” yang bermonolog dengan dirinya dalam melahirkan rasa pasrah terhadap dirinya. Zaen Kasturi juga menyelitkan unsur bawah sedar dalam cerpen ini

     “tiba-tiba pedangnya bergesel dengan leherku secepat kilat juga mimpiku terputus”

Zaen Kasturi juga mengunakan teknik surat menyurat dalam cerpen ini yang diperlihatkan di anatara watak “ibu” dan “aku”

      "Kerinduan kepada tanah air telah menghidupkan semangat ‘aku’ meneruskan kehidupannya dan melupakan segala kepiluan yang berlaku pada dirinya".

Kesimpulan

 Hampir kesemua cerpen dalam kumpulan cerpen Idola ini bersifat absurd. Mesej yang terkandung dalam kumpulan cerpen Idola jelas dan mengajar insan supaya tidak mudah kecewa dan kembali menemui jati diri sebenar. Zaen Kasturi cenderung menggunakan perlambangan dan kata-kata bercorak filsafat dalam cerpennya.